[Bernama] Airul Firham Pendandan Rambut Berkemahiran Tinggi

Bernama, 1 March 2016

SERI ISKANDAR, 1 Mac (Bernama) -- Anak muda yang bernama Airul Firham Che Amran, 22, pemilik pusat dandanan rambut 'The True SI Barber' yang baharu dibuka di sini bukan merupakan tukang gunting atau pendandan rambut sebarangan. Beliau merupakan anak muda Malaysia pertama yang naik ke pentas dunia untuk menerima pingat gangsa dalam bidang dandanan rambut pada World Skills Competition (WSC) di Sao Paolo, Brazil tahun lalu. Ia sekali gus menjayakan penantian Malaysia selama 12 tahun untuk menggondol pingat pada WSC sejak 1993.

Walaupun anak jati Perlis ini berkongsi pingat dengan peserta Korea Selatan dan Taiwan, selepas pingat emas menjadi milik wakil China dan pingat perak menjadi genggaman peserta Perancis, namun kebolehannya tidak boleh dipandang mudah. Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Roy dan merupakan bekas pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak, Kuala Kubu Baharu turut diumum sebagai penerima 'Best of Nation' yang mengiktiraf peserta terbaik bagi setiap negara yang bertanding.

airul SI BARBER lpr

Roy tidak lupa untuk memberi penghargaan di atas kejayaannya itu kepada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) yang selama ini menjadi pendorong kepada beliau dan golongan belia Malaysia lain untuk memilik kemahiran tinggi dalam segala bidang. "Misalnya selepas tamat belajar pun, JPK akan melawat saya untuk memantau keadaan saya, yang ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk bekerja," katanya.

Beliau berkata program kemahiran anjuran JPK adalah sangat baik bagi golongan remaja yang mahu mendapat kemahiran. "Bahkan menerusi SkillsMalaysia, kita boleh pergi lebih jauh sehingga ke peringkat antarabangsa," ujaranya. Ketua Pengarah JPK, Datuk Pang Chau Leong berkata kejayaan Airul Firham membuktikan bahawa program SkillsMalaysia mampu melahirkan individu berjaya hingga peringkat dunia.

-- BERNAMA

We use cookies to improve our website. By continuing to use this website, you are giving consent to cookies being used. More details…