[Bernama] Golongan Muda Diseru Sertai Bidang Kerja 'dipelopori' Warga Asing

Bernama, 23 Februari 2016

SERI ISKANDAR, 23 Feb (Bernama) -- Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib hari ini meminta golongan muda di negara ini supaya menyertai bidang kerja yang 'dipelopori' warga asing bagi membantu memenuhi permintaan majikan.

"Majikan mahu pekerja, kalau anak-anak kita tidak bersedia untuk bekerja, mereka (majikan) terpaksa mengambil pekerja asing dan kita tidak boleh menghalang mereka kerana itu keperluan," katanya.

Ketika ini sebanyak 14 negara sumber membekalkan kira-kira 2.1 juta pekerja di Malaysia, katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penghargaan Pemenang Pertandingan Kemahiran Dunia (WSC) 2015 di sini.

Ismail berkata penglibatan golongan muda dalam kerja-kerja mahir penting bagi memastikan kerajaan dapat mencapai sasaran melahirkan 35 peratus pekerja mahir menjelang 2020, selari dengan hasrat untuk menjadi negara maju.

Beliau berkata setakat ini Malaysia hanya mencapai sasaran 26 hingga 28 peratus.

Pada majlis itu, Ismail turut merasmikan pusat dandanan 'The True SI Barber' milik Airul Firham Che Amran pemenang pingat gangsa dalam WSC 2015.

Mengulas cadangan Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC) supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi mengkaji semula polisi kemasukan pekerja asing, Ismail berkata kerajaan masih meneliti pandangan pelbagai pihak termasuk MTUC.

-- BERNAMA

We use cookies to improve our website. By continuing to use this website, you are giving consent to cookies being used. More details…