[UTUSAN ONLINE] Ajar orang tentang imej
Utusan Online, 19 Disember 2017
Ajar orang tentang imej
PERNAH bergelar sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Kementerian Dalam Negeri selama 10 tahun, namun jiwa Hafiz Mustapha, 40, masih berasa kekosongan. Walaupun memiliki jawatan yang dipandang tinggi, di sudut hati dia ingin melakukan sesuatu yang disukai dan bukan kerana terpaksa. Dia ingin memulakan perniagaan sendiri dalam bidang perundingan imej dan konsultan kepada semua golongan termasuk korporat. Justeru, dia nekad meletak jawatan, keputusan yang sedikit pun tidak menimbulkan kesal pada hatinya. Kini Hafiz Mustapha, pemilik kepada syarikatnya sendiri, CuteCarry Sdn Bhd dan berbangga kerana berjaya bergelar sebagai seorang penceramah, perunding imej, penulis dan penulis blog (blogger).
Kepakarannya adalah dalam bidang imej Appearance (penampilan), Behaviour (tingkah laku) dan Communication (komunikasi) atau ABC, ABC dan Development (Pembangunan) atau ABCD, protokol dan etika, perkhidmatan pelanggan, penjenamaan perniagaan, motivasi, pengendalian majlis, serta pelbagai bidang berkaitan. Setakat ini, beratus-ratus agensi swasta dan kerajaan, termasuk badan-badan korporat seperti, Petronas, UMW Corporation, Perodua Malaysia, Andalusia Travel dan sebagainya, telah mendapatkan perkhidmatannya terutama dalam bidang penjenamaan. kata lelaki yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak ini memandangkan perundingan imej adalah bidang yang cukup dekat dan serasi dengan dirinya.
Tambahnya, dari kecil dia sangat berminat dengan penampilan, imej dan fesyen walaupun dia tidak pernah belajar atau mengikuti sebarang kursus dalam bidang tersebut. “Saya ingin mengajar orang bagaimana cara berpakaian, bergaul, bercakap dan sebagainya dengan cara yang betul. Saya bersyukur kerana dianugerahkan dengan kebolehan ini. “Kerana minat yang mendalam, saya sanggup berhenti kerja makan gaji walaupun pendapatan bulanan ketika itu agak lumayan. “Jika sebelum ini penjagaan imej hanya sebagai hobi, menukarnya kepada punca rezeki. Apa yang lebih penting saya ingin melakukan sesuatu yang saya suka,” katanya yang juga Naib Presiden Persekutuan Antarabangsa Imej Profesional (FIPI) Malaysia baru-baru ini,
Memiliki kelulusan dalam pelbagai bidang termasuk Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Putra Malaysia (UPM); Diploma Perhubungan Media dari Kolej Ripa London, United Kingdom; dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia dalam Perundingan Imej dari Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia, Kementerian Sumber Manusia, Hafiz berpendapat, imej masyarakat di negara ini tidaklah begitu teruk. Bagaimanapun baginya, seseorang itu harus mempelajari dan mengetahui mengenai etika berpakaian, cara berkomunikasi, pergaulan dan sebagainya. Banyak belajar daripada pengalaman semasa bekerja sebagai pegawai tadbir diplomatik dahulu, dia akan turut memberikan motivasi dalam setiap ceramah yang disampaikan.
“Prinsip pengurusan gaya yang saya sampaikan adalah tidak mengubah imej pelanggan keseluruhannya tetapi menambah personaliti dan memperbaiki penampilan. “Pada pendapat saya, kita tidak boleh mengubah keseluruhan imej selesa kerana dia telah selesa dengan gayanya. Setiap orang memiliki penampilan yang berbeza dan tidak sama dengan orang lain. “Walaupun saya telah menyampaikan ceramah pada kira-kira 300 agensi di seluruh negara termasuk Brunei dan Singapura, saya masih lagi belajar daripada mereka yang lebih pakar dalam bidang imej,” ujar anak kedua daripada tujuh beradik ini yang memiliki personaliti ceria dan bergaya. Menurut Hafiz, citacitanya adalah untuk menjadikan perniagaan yang ditubuhkan sebagai sebuah syarikat konsultan imej dikenali hingga ke luar negara.
Dia juga mempunyai rancangan untuk menambah lagi perniagaan yang sedia ada. Setakat ini, dia telah pun memiliki sebuah lagi syarikat, iaitu CuteCarry Super Tailor Sdn Bhd. Jelasnya lagi, kepuasan adalah apabila pelanggan berpuas hati dan syarikatnya mencapai sasaran dari segi kewangan. Dalam perniagaan, pasti ada cabaran yang perlu dihadapi, namun bagi Hafiz, dia tidak mahu ambil tahu mengenai saingan dan tidak pernah risau dengan saingan di luar, sebaliknya hanya mahu memberi tumpuan kepada apa yang diusahakan. Memegang kepada prinsip, berniaga perlu jujur, jangan memberi atau menerima rasuah, Hafiz amat mementingkan integriti.