Syarikat multinasional digalak sertai SLDN
Berita Harian - 27 Februari 2018
Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dalam usaha mencapai sasaran kerajaan sebanyak 35 peratus pekerja mahir menjelang tahun 2020. Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Anak Jaem, berkata sejak diperkenalkan pada 2005, SLDN berjaya melatih 106,769 perantis membabitkan pentauliahan sebanyak 5,479 syarikat dan 2,679 pusat latihan. Katanya, SLDN yang mengambil model dari Jerman, adalah konsep latihan industri membabitkan 70 peratus latihan praktikal, manakala 30 peratus lagi teori dan pembelajaran dalam kelas. "Program berkenaan berupaya melahirkan tenaga kerja mahir dan berpengetahuan tinggi selaras dengan keperluan industri. "Malah komposisi tenaga kerja mahir dalam negara mencatat 31 peratus, berbanding hanya 28 peratus pada tahun 2015 lalu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan program SLDN McDonald´s Malaysia, di sini, hari ini. Yang turut hadir, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia, Azmir Jaafar. McDonald's Malaysia diumumkan sebagai restoran makanan segera pertama menerima sijil pentauliahan SLDN daripada Kementerian berkenaan. Kumpulan pertama program SLDN McDonald's Malaysia bermula Mac, terdiri daripada 30 perantis merangkumi pekerja sedia ada dan pekerja baharu. Sepanjang tempoh 18 bulan latihan, perantis turut diberikan elaun RM1,200 selain manfaat perubatan dan insurans serta makanan percuma.
Sementara itu Azmir, berkata pencapaian itu bukan sahaja menunjukkan komitmen syarikat dalam membolehkan negara mencapai sasaran 35 peratus pekerja berkemahiran daripada keseluruhan tenaga kerja menjelang tahun 2020, tetapi menjadi pengendali restoran khidmat makanan segera pertama menerima pengiktirafan SLDN daripada kerajaan. Katanya, pihaknya sentiasa berusaha tingkatkan kompetensi kakitangan dalam usaha meningkatkan kepelbagaian dan pekerja terlatih. "Kami percaya inisiatif pembangunan modal insan ini seiring dengan agenda peringkat kebangsaan. "Kami berharap program ini berupaya meningkatkan pertumbuhan ekonomi seiring Rancangan Malaysia ke 11," katanya.
Menjelang akhir tahun ini, katanya syarikat merancang mewujudkan 100 pusat latihan dengan sasaran 1,000 peserta. Azmir berkata pihaknya memiliki pelan pembangunan yang bukan sahaja mencerminkan perniagaan yang berkembang positif, tetapi turutmampu meningkatkan status ekonomi rakyat Malaysia. "Menjelang tahun 2025, kami mensasarkan kewujudan 450 restoran dan tambahan 10,000 peluang pekerjaan dari 12,000 tenaga kerja sekarang," katanya.