[SINAR HARIAN] Malaysia menyertai kemahiran pertandingan di Abu Dhabi
MARAN - Malaysia akan menghantar seramai 20 peserta ke pertandingan kemahiran peringkat dunia, World Skill Competition selama tujuh hari bermula 13 oktober ini di Abu Dhabi. Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abdul Mutallib berkata, 70 negara akan menyertai pertandingan yang diadakan dua tahun sekali dan membabitkan kira-kira 50 acara itu. Menurutnya, bagaimanapun Malaysia hanya akan menyertai 21 dari 50 acara dipertandingkan.
"Kita menyasarkan sekurang kurangnya akan memenangi lima pingat antaranya bidang kejuteraan, elektronik, bahagian persolekan dan andaman, jahitan dan penyediaan makanan," katanya. Beliau berkata dmeikian pada sidang media Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Warga Emas, Ibu Tunggal serta OKU Masyarakat India Sempena Sambutan Hari Deepavali Peringkat Parlimen Maran 2017 di Kampung Awah, di sini. Hadir sama, Ketua MIC Bahagian Maran G Poongavanam.
Ismail yang menjadi ketua perwakilan itu berkata, pada pertandingan World Skill tahun lepas, negara hanya memenangi satu pingat gangsa dalam bahagian solekan dan mendapat 16 penghargaan dalam pelbagai bidang disertai. Katanya, sukar untuk memenangi lebih banyak pingat terutamanya emas kerana ia sangat mencabar dan perlu bersaing dengan negara yang jauh lebih maju. Menurutnya, bagaimanapun pada pertandingan Asian Skill Competition di Kuala Lumpur tahun lepas, negara berjaya memenangi 22 pingat emas dalam acara disertai sementara ketika pertandingan 2014 di Hanoi, sembilan emas pingat diperoleh.Beliau berharap pertandingan disertai kali ini akan mendedahkan lebih banyak ilmu serta pengalaman kepada peserta sebagai persediaan untuk pertandingan akan datang. Dalam pada itu Ismail berkata, kerajaan akan terus memperkasakan bidang latihan kemahiran (TVET) di peringat sekolah dan lepasan sekolah supaya ia dapat melahirkan lebih ramai tenaga pekerja tempatan yang mahir dan terlatih. Katanya, negara memerlukan tenaga pekerja mahir terlatih yang ramai untuk mengisi keperluan tenaga kerja yang masih belum lagi mencukupi serta mengelakkan kebergantungan tenaga pekerja asing.