[Harian Metro] WSC 2017, Malaysia sasar 5 emas

MALAYSIA menyasarkan lima pingat dengan satu emas bagi penyertaan dalam Pertandingan Kemahiran Dunia (WSC) 2017 kali ke-44 yang berlangsung di Abu Dhabi bermula 14 hingga 19 Oktober ini. Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot berkata, untuk penyertaan kali ini, kontinjen Malaysia terbabit dalam 20 daripada 54 bidang kemahiran yang dipertandingkan. "Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Kerja Raya melaksanakan pelbagai strategi dan
program bagi memastikan WSC Abu Dhabi 2017 berjaya memperoleh pingat emas yang pertama. "Harapan seluruh rakyat Malaysia adalah sangat tinggi terhadap kontinjen negara ini dalam menaikkan dan mengharumkan nama negara di pentas arena kemahiran dunia," katanya kepada pemberita pada Majlis Pelepasan Kontinjen Negara ke WSC 2017 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang hari ini. Beliau berkata, penyertaan kontinjen negara ke
WSC masuk kali ke-13 membabitkan 50 orang terdiri daripada 21 peserta, 20 pakar, empat ketua dan timbalan ketua pasukan serta lima pegawai penterjemah.


Katanya, antara bidang disertai peserta terbabit ialah terapi kecantikan, pembuatan kabinet, masakan, elektronik, teknologi automobil, teknologi fesyen, dandanan rambut selain teknologi maklumat pengurusan sistem jaringan. Pertandingan kemahiran ini adalah agenda penting ke arah mentransformasi latihan kemahiran di Malaysia dan penyertaan kontinjen negara akan memperlihatkan keupayaan tenaga mahir negara di persada antarabangsa. "Selain itu, pembabitan Malaysia dalam pertandingan peringkat antarabangsa seperti ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan tenaga kerja yang berdaya saing, berkualiti dan berkemahiran tinggi menjelang 2050," katanya. Pada masa sama, Riot berkata, penyertaan Malaysia juga akan mengeratkan kerjasama antara pihak kerajaan, industri dan agensi Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) di seluruh dunia melalui pertukaran teknologi dan kepakaran dalam bidang kemahiran. Mengulas lanjut, beliau berkata, pemenang yang berjaya membawa pulang pingat emas akan dianugerahkan RM100,000 oleh kerajaan, RM20,000 bagi pingat perak, RM10,000 untuk gangsa manakala RM4,000 bagi
peserta mencapai tahap lulus.

We use cookies to improve our website. By continuing to use this website, you are giving consent to cookies being used. More details…