[KOSMO] KVertS lahir pelajar berkemahiran tinggi

osmo, 3 Oktober 2017

 

TANGANNYA menari laju di dada kertas lakaran bagi menterjemah gambaran gaun yang terbayang di minda.

Kejayaan pertunjukan fesyen yang dikelolakan oleh kelasnya bagi memenuhi projek tahun akhir pelajar program Seni Reka Fesyen dan Membuat Pakaian, Kolej Vokasional Ekonomi Rumah Tangga Setapak (KVertS), Setapak, Kuala Lumpur beberapa bulan lepas membuatkan Mohammad Farris Aiman Nor Sarizan, 19, lebih fokus untuk mereka busana indah.

“Permulaan saya dalam bidang ini tidak mudah. Saya memperoleh keputusan cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah. Keluarga mahu saya melanjutkan pelajaran dalam bidang yang lebih menjamin masa depan

“Justeru, saya memohon memasuki KVertS yang menawarkan bidang vokasional tanpa pengetahuan keluarga,” kata anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu.

Keluarga Mohammad Farris Aiman berpendapat pendidikan di kolej vokasional (KV) tidak menjamin masa depan, sementelah graduan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti pelajar sekolah menengah lain.

Anak sulung daripada tiga orang adik-beradik itu percaya bahawa ujian yang ditempuhnya itu merupakan sebahagian daripada cabaran untuk menjadi seorang pereka fesyen berjaya suatu hari nanti.

Komitmennya berbalas apabila dia dan seorang rakannya terpilih untuk menyertai pertandingan Anugerah Seni Reka Generasi M sempena Pertunjukan Fesyen Modest Tokyo 2017 pada bulan depan.

Pertandingan tersebut terbuka kepada semua pelajar sekolah fesyen yang dilantik oleh Jawatankuasa Penganjur Halal Ekspo Jepun 2017.

Pelajar KV mengikuti pengajian selama empat tahun dengan mengambil Sijil Vokasional Malaysia (SVM) pada tahun kedua sebelum menduduki DVM pada tahun terakhir.

Selain DVM, pelajar juga dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) di bawah kawal selia Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia.

Sebagai sebuah kolej vokasional yang memfokuskan aspek hospitaliti dalam kesemua lima program yang ditawarkan, KVertS bertindak sebagai platform untuk melahirkan pelajar berkemahiran domestik agar mampu menghadapi pasaran kerja yang kompetitif selepas tamat pengajian.

KVertS menawarkan lima program iaitu Seni Kulinari, Seni Reka Fesyen dan Membuat Pakaian, Kosmetologi, Pendidikan Awal Kanak-Kanak serta Sistem Komputer dan Rangkaian.

Bilangan pelajar terkini di KVertS ialah 654 orang pelajar dan 105 orang tenaga pensyarah.

NUR AMIRA (tengah) bersama ibu, Zanariah dan bapa, Halil yang banyak membantu perniagaan Bahulu Cik Hana yang diusahakannya.

 

Menyelak lipatan sejarah, Sekolah Vokasional ERT Setapak ditubuhkan pada tahun 1975 sebelum dinaik taraf sebagai KV pada tahun 2012.

Ia merupakan salah sebuah daripada 14 buah sekolah vokasional di seluruh negara yang dipilih untuk projek rintis berkenaan.

Sehingga kini, terdapat 76 KV di seluruh negara.

Ia juga merupakan KV (ERT) pertama daripada kesemua empat buah yang lain iaitu KV(ERT) Azizah, Johor Bahru, Johor; KV(ERT) Puteri, Temerloh, Pahang dan KV Dato’ Undang Haji Muhamad Sharip, Rembau, Negeri Sembilan.

Secara umum, lebih 70 peratus bekas pelajar KVertS berjaya mendapatkan pekerjaan sebaik menamatkan pengajian.

Antara alumni KVertS yang boleh dibanggakan ialah bekas pelajar program Seni Kulinari, Nur Amira Halil, 21.

Alumni kumpulan pertama KV rintis itu kini mampu berbangga apabila berjaya mengeluarkan produk makanan tradisionalnya sendiri pada bulan Mei 2016 iaitu kuih baulu hasil pengetahuan dan pengalaman yang dikutip selama empat tahun di KVertS.

“Saya memilih KVertS kerana pada masa itu, tidak banyak KV yang menawarkan program kulinari. Sepanjang tempoh empat tahun tersebut, saya dapat memantapkan kemahiran memasak dan juga didedahkan dengan ilmu pemasaran serta cabaran sebenar dunia perniagaan apabila terlibat dalam industri.

Perniagaan

KESUNGGUHAN Mohammad Farris Aiman sepanjang pengajian di KVertS melayakkannya menyertai pertandingan fesyen di Tokyo, Jepun pada bulan depan.

 

“Syukur, lima bulan selepas tamat pengajian pada penghujung 2015, saya berjaya memulakan perniagaan baulu walaupun hanya bermodalkan simpanan peribadi,” ujar anak kelahiran Klang, Selangor itu sewaktu dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Bermodalkan sebuah ketuhar, pada mulanya Nur Amira hanya memasarkan peket baulu berjenama Bahulu Cik Hana buatannya di kedai-kedai makan sekitar Klang dan Shah Alam, Selangor.

Namun, selepas mendapat geran berjumlah RM15,000 daripada SME Corporation Malaysia pada penghujung tahun lepas, Nur Amira memanfaatkan modal tersebut dengan menambah sebuah lagi ketuhar induksi dan sebuah mesin pengadun.

Malah, anak sulung daripada empat orang adik-beradik itu juga telah mendaftarkan kandungan nutrisi produk makanannya dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk rujukan pengguna.

“Selepas setahun, sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Selain permintaan tinggi pada musim perayaan, saya juga menerima tempahan baulu untuk dijadikan cenderamata majlis perkahwinan atau keraian.

“Saya hanya dibantu oleh ibu, Zanariah Baharudin, 45, dan adakalanya beberapa pekerja sambilan memandangkan perusahaan saya beroperasi sepenuhnya di rumah. Ayah, Halil Kadri, 47, pula banyak menolong saya membuat penghantaran,” katanya sambil menzahirkan kesyukuran kerana memiliki ibu bapa yang sangat memahami dan menyokong perjalanannya bergelar usahawan muda.

Peranan KV tidak hanya terbatas dalam melahirkan pelajar yang mempunyai kemahiran mampan dalam bidang keusahawanan malah, turut membekalkan mereka dengan kecekapan dalam aspek perkhidmatan.

Antara pelanggan yang pernah mendapatkan khidmat daripada pelajar program Kosmetologi ialah Norida Faimin, 38.

“Saya diberitahu oleh seorang rakan mengenai perkhidmatan rawatan wajah yang dikendalikan oleh pelajar program Kosmetologi pada tahun lepas dan tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi KVertS bagi mencubanya sendiri.

“Secara peribadi, saya sangat berpuas hati dengan kualiti perkhidmatan yang boleh dianggap setara dengan pusat kecantikan komersial dalam pasaran, namun ditawarkan pada harga yang jauh lebih rendah.

“Keyakinan terhadap kemahiran yang dimiliki pelajar membuatkan saya tidak teragak-agak untuk mendapatkan rawatan kuku tangan dan kaki sewaktu mereka membuka gerai di ibu pejabat Persatuan Suri & Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) di Putrajaya beberapa bulan lepas,” kongsi anak kelahiran Sabah yang merupakan penjawat awam di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi itu.

 

We use cookies to improve our website. By continuing to use this website, you are giving consent to cookies being used. More details…