Berita Harian, 1 Julai 2021

Pautan Asalhttps://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/07/834328/ksm-syor-komuniti-jpk-segera-divaksin

 

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengesyorkan supaya kakitangan, pengajar dan pelajar Pusat Bertauliah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) diberi keutamaan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Dalam satu kenyataan, KSM berkata, syor mempercepatkan vaksinasi kepada kumpulan itu bagi membolehkan Pusat Bertauliah JPK, khususnya Institut Latihan Kemahiran Swasta (ILKS), melaksanakan latihan kemahiran secara bersemuka.

Pada masa sama, KSM turut mengesyorkan supaya ILKS kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Menerusi mekanisme ini, latihan kemahiran secara bersemuka dapat dilaksanakan sepenuhnya, sekali gus pelaksanaan tuntutan bayaran dan pembiayaan ke atas Pusat Bertauliah JPK dapat dibuat sewajarnya supaya Pusat Bertauliah JPK dapat terus kekal beroperasi," kata kenyataan itu, hari ini.

Beliau mengulas rayuan Persekutuan Pusat Bertauliah JPK (FeMAC) baru-baru ini, supaya kerajaan membantu ILKS bagi membolehkan mereka beroperasi ketika pelaksanaan sekatan pergerakan ketika ini.

KSM berkata, pihaknya telah menyediakan garis panduan dan SOP JPK selaras arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dengan melonggarkan pelaksanaan latihan teori dan aktiviti kawalan mutu latihan kemahiran serta pentauliahan program bertauliah dijalankan secara dalam talian supaya operasi Pusat Bertauliah JPK tidak terjejas.

Kelonggaran itu diberikan berikutan Pusat Bertauliah JPK tidak dapat menjalankan kursus kemahiran dan pengambilan pelatih disebabkan PKP, menyebabkan operasi terjejas dan tuntutan yang sepatutnya dibuat oleh Pusat Bertauliah JPK tidak dapat diselesaikan.

Bagaimanapun, katanya, aktiviti latihan kemahiran secara amali memerlukan kehadiran pelatih secara fizikal dan bersemuka.

"

Kekangan ini menjejaskan pelaksanaan latihan kemahiran, dan pada masa yang sama tuntutan bayaran oleh Pusat Bertauliah JPK tidak dapat dibuat," katanya.

Terdahulu, KSM memaklumkan kerajaan sudah menyediakan siling peruntukan berjumlah RM200 juta bagi membiayai program berinsentif Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) 2016 – 2020.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak RM146,389,465 telah dibelanjakan setajat 31 Mei lalu.

"Menerusi Kumpulan Wang COVID-19 (KWC) pula, sejumlah RM60 juta diperuntukkan oleh kerajaan bagi membiayai program SLDN PLUS bagi tahun ini.

"Sejumlah RM6,541,650 telah dituntut oleh Pusat Bertauliah JPK dan dimanfaatkan sepenuhnya sehingga kini," katanya.

We use cookies to improve our website. By continuing to use this website, you are giving consent to cookies being used. More details…