[BERNAMA] Karnival SkillsMalaysia Sasar 10,000 Pengunjung
BERNAMA , 10 Ogos 2017
Karnival SkillsMalaysia Sasar 10,000 Pengunjung
KUALA LUMPUR- Karnival SkillsMalaysia Zon Tengah 2017 yang akan diadakan pada 12 hingga 14 Ogos ini, di Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST), Seksyen 19 Shah Alam menyasarkan kehadiran 10,000 pengunjung. Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran Wilayah Tengah, Kementerian Sumber Manusia Meena Ramalingam berkata Karnival SkillsMalaysia merupakan program jerayawara tahunan yang diadakan sejak 2011 dan berlangsung di enam zon seluruh negara iaitu Zon Utara, Zon Tengah, Zon Selatan, Zon Timur, Sabah dan Sarawak. "Karnival yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat dan menyasarkan pelajar, lepasan sekolah, ibu bapa, guru dan pihak industri yang mencari peluang dalam latihan kemahiran serta peluang pekerjaan, menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung," katanya kepada Bernama.
Antara aktiviti yang akan diadakan adalah Program Skills Job Fair, pertandingan Cabaran Robot Kebangsaan, Explore Skills Race 2017, kursus kemahiran menjana pendapatan dan pameran demonstrasi kemahiran. "Pameran ini akan disertai 33 Pusat Bertauliah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan agensi lain bagi memperkenalkan bidang kemahiran. "Dianggarkan lebih 7000 tempat latihan akan disediakan dalam pelbagai sektor dan bidang kemahiran. Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berumur 17 hingga 35 tahun yang berminat menyambung pengajian dalam bidang kemahiran boleh mendaftar secara terus di 32 institut seliaan Jabatan Tenaga Manusia," katanya.
Dalam pada itu, Meena berkata karnival ini memberi pendedahan kepada pelajar, ibu bapa, guru, industri dan masyarakat untuk mendalami bidang kemahiran selaras dengan hasrat kerajaan bagi memartabatkan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET). "Karnival seumpama ini dapat menggalakkan penyertaan industri dalam program peningkatan kerjaya kemahiran selain menarik lebih ramai belia yang berpotensi menceburi bidang kemahiran sebagai pilihan kerjaya," kata Meena. Selain itu, beliau berkata ia juga dapat memberi peluang kepada agensi awam dan swasta untuk mempromosikan produk dan kursus kemahiran yang ditawarkan kepada umum.
"Bagi yang mencari pekerjaan, ini merupakan peluang kepada mereka terutamanya belia lepasan aliran kemahiran untuk mencari pekerjaan," katanya. Meena berkata melalui karnival ini juga mereka ingin memperkenalkan dan mempromosi JPK sebagai badan Pensijilan Kemahiran selaras dengan hasrat kerajaan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11).
Malah katanya, ia juga bertujuan menjalinkan dan menggabungkan kerjasama strategik antara kementerian, industri dan agensi yang berkaitan dalam memperkasakan latihan kemahiran di Malaysia. Sementara itu, mengenai Pertandingan WorldSkills Malaysia Belia (WSMB), beliau berkata ia merupakan pertandingan kemahiran dalam kategori belia yang dianjurkan sejak 1989 dan bertujuan membangunkan kompetensi belia dalam bidang kemahiran di samping memberi pengiktirafan kepada pemenang yang berjaya melalui Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri.
"Pertandingan Pra-Kelayakan telah diadakan pada 6 hingga 27 April lalu dan pertandingan akhir akan diadakan pada 11 hingga 17 Ogos ini di CIAST Shah Alam, WISDEC Banting, UPM Serdang dan Akademi Binaan Malaysia Wilayah Utara," katanya. Beliau berkata, pemenang bagi WSMB akan menerima anugerah semasa Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri pada November dan berpeluang mewakili Malaysia ke Pertandingan Kemahiran ASEAN (ASC) 2018 di Bangkok, Thailand dan Pertandingan Kemahiran Dunia (WSC) 2019 di Kazan, Rusia. Untuk maklumat lanjut mengenai karnival dan aktiviti yang dijalankan, orang ramai boleh layari laman web JPK www.dsd.gov.my, Facebook dan Instagram SkillsMalaysia.